PUTRAJAYA 21 Ogos - Pemilik panggung wayang utama negara TGV Cinemas
Sdn Bhd (TGV) dan Golden Screen Cinemas (GSC) akan turut berkabung
sempena hari perkabungan negara esok.
Ketua Pegawai Eksekutif TGV, Gerald V Dibbayawan berkata, pihaknya
akan memberi peringatan kepada pengunjung agar bersedia untuk bertafakur
selama seminit pada waktu bertafakur serentak seluruh negara, yang
dijangkakan pada bila-bila masa bermula 10.30 pagi.
"Sepanjang Jumaat, kita juga akan meminta pengunjung untuk bertafakur
mengikut kepercayaan agama mereka sebelum tayangan sesebuah filem
bermula di 22 panggung wayang TGV seluruh negara," katanya kepada
Bernama.
Mengikut kebiasaan, TGV akan menayangkan filem pertama untuk hari tersebut selepas jam 10 pagi.
Semua kakitangan TGV juga akan memakai pakaian berwarna gelap untuk
hadir bekerja esok, manakala barisan hadapan syarikat seperti penjaga
kaunter tiket akan berpakaian hitam tanda berkabung, tambah Gerald.
Jurucakap GSC pula berkata petugas GSC juga akan berpakaian gelap
atau hitam, selain meminta pengendali panggung wayang milik mereka
menurunkan hiasan sempena Hari Kemerdekaan selama sehari.
"Sebagai tanda solidariti kami, iklan yang disiarkan pada televisyen
plasma di semua 28 panggung wayang seluruh negara akan disiarkan secara
hitam putih," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment